PDRM Kurangkan Sekatan Jalan Raya Mulai Isnin – KPN

KUALA LUMPUR, 1 Mei: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengurangkan sekatan jalan raya mulai Isnin ini dan akan memfokus kepada penguatkuasaan pematuhan jarak sosial selain mengekang kemasukan pendatang tanpa izin serta kegiatan penyeludupan.

Ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan hari ini yang memberikan beberapa kelonggaran berbanding PKP. 

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata beberapa lokasi sekatan jalan raya akan turut diubah ke lokasi yang didapati menjadi laluan kemasukan pendatang tanpa izin dan kegiatan penyeludupan.

“Selaras dengan arahan terbaru kerajaan ini juga, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia akan meningkatkan kawalan ke laluan utama yang dikenal pasti digunakan oleh tekong-tekong (pengendali penyeludupan manusia) untuk membawa masuk pendatang tanpa izin.

“Laluan tersebut akan diperkuatkan dengan sekatan jalan raya baharu yang dikawal ketat bagi memastikan penyebaran dan penularan wabak COVID-19 ini dapat dikekang selaras dengan arahan PKP ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Abdul Hamid berkata PDRM menyambut baik keputusan kerajaan untuk membenarkan hampir semua sektor ekonomi beroperasi semasa PKP dilaksanakan namun akan terus melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap semua aktiviti bagi memastikan amalan jarakan sosial dipatuhi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja hari ini, berkata sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antaranya, restoran dibenar beroperasi dengan syarat mematuhi SOP perniagaan, aktiviti sukan luar seperti bermain badminton atau tenis tanpa penonton, joging, kayuhan basikal, golf dan larian tidak melebihi 10 orang dibenarkan dengan syarat mengamalkan jarakan sosial.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *