Kerjasama Semua Pihak Berjaya Hentikan Penularan COVID-19

Christina (dua kanan), Liang (tengah) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Penularan wabak COVID-19 di Sabah dilihat berjaya diputuskan dengan hasil usaha kerjasama semua pihak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, berdasarkan gambaran situasi terkini, peralihan ke arah positif semakin konsisten khususnya di bandar-bandar yang diisytiharkan sebagai Zon Merah.

“Tawau dan Kota Kinabalu contohnya sebelum ini adalah kawasan Merah tetapi kini berkurangan sehingga ke Zon Kuning memandangkan ramai dalam kalangan pesakit sudah pulih.

“Semporna pula kini adalah kawasan Hijau dengan tidak mencatatkan sebarang kes baharu. Kes kematian terakhir dilaporkan di Sabah berkaitan dengan COVID-19 adalah pada 10 April lepas,” katanya dalam satu kenyataan selepas menerima unit bantuan peralatan perubatan dari Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide.

Beliau berkata, kejayaan yang dicapai itu adalah berikutan keberkesanan kepimpinan Sabah, Pusat Arahan COVID-19 Sabah dan kerjasama baik diberikan orang ramai dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta para petugas barisan hadapan.

“Walaupun kita tidak dapat jangka bila ancaman wabak berkenaan akan tamat, kita tetap menantikan hari-hari yang baik di masa hadapan sekaligus membolehkan ekonomi diperkasakan semula khususnya sektor pelancongan,” katanya.

Dalam pada itu, Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menerima bantuan unit peralatan perubatan bagi pihak kerajaan berupa 20,000 unit penutup mulut, 4,500 botol pembersih tangan dan 10,000 tablet effervescent.

Menurutnya, Kerajaan Sabah sangat berterima kasih kepada konsul jeneral terhadap sumbangan besar kepada negeri ini dalam usaha menangani penularan COVID-19.

“Lebih banyak unit bantuan perubatan akan diterbangkan dari China pada minggu pertama Mei menerusi penerbangan sewa khas,” katanya.

Christina turut memberikan jaminan bahawa bantuan penutup mulut berkenaan turut akan disampaikan kepada Persatuan Wartawan Sabah dan Persatuan Wartawan Kota Kinabalu.

Sebelum itu, Liang turut menyeru kepada kerajaan negeri agar tidak teragak-agar untuk memaklumkan kepada pihaknya sekira Sabah memerlukan lebih banyak unit bantuan perubatan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *