Ingkar PKP, 10 Lelaki Ditahan

Ingkar PKP, 10 Lelaki Ditahan Di Papar

PAPAR: Seramai 10 lelaki ditahan selepas didapati berada di kawasan awam tanpa alasan munasabah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di tiga kawasan berasingan di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, semua lelaki yang ditahan adalah rakyat tempatan berusia 20 hingga 40 tahun.

Katanya, semua individu berkenaan ditahan selepas didapati berada di tempat awam di sekitar pekan Papar, Kinarut dan Bongawan.

“Tangkapan dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan & Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 4) 2020.

“Semua yang ditahan didapati ingkar akan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Covid19 dengan berada di tempat awam tanpa alasan munasabah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, IPD Papar akan melaksanakan tangkapan secara berterusan jika masih lagi terdapat orang awam yang ingkar akan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Covid19 ini.

Sehubungan itu, Batholomew menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengikut arahan PKP yang dikuatkuasakan.

“Pihak polis berharap orang ramai dapat memberi kerjasama dan sentiasa bersabar sehingga tempoh PKP ini berakhir,” katanya.- Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *