PKPB: Polis Atur Semula Sekatan Jalan Raya Seluruh Negara

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, lokasi sekatan jalan raya polis akan dirombak dan dialihkan ke lokasi strategik susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat bermula 4 Mei ini.

KUALA LUMPUR: Sebahagian lokasi sekatan jalan raya di seluruh negara akan diatur semula ke lokasi lebih strategik, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, ia susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Sebahagian sekatan jalan raya ini akan dirombak dan dialihkan ke lokasi strategik, termasuk bagi menyekat (kemasukan) pendatang tanpa izin,” katanya hari ini.

Abdul Hamid juga berkata, pasukan pemantau akan ditambah bagi memastikan orang ramai mematuhi jarakan sosial.

Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja berkata, sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antaranya restoran dibenar beroperasi dengan mematuhi SOP perniagaan, aktiviti sukan luar seperti badminton atau tenis di luar tanpa penonton, joging, kayuhan basikal, golf dan larian tidak melebihi 10 orang dibenarkan dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *