Kaunter ‘Drive Thru’ Bayar Zakat Diperkenal Kali Pertama Di Sabah

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS) memperkenalkan perkhidmatan kaunter pandu lalu buat julung-julung kalinya bagi mempermudahkan kutipan zakat fitrah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar berkata, pada peringkat awal, hanya satu kaunter pandu lalu akan dibuka di Wisma MUIS bermula Isnin (4 Mei) sebelum perkhidmatan itu diperluaskan ke daerah-daerah lain.

Katanya, perkhidmatan kaunter pandu lalu ini akan dibuka bermula 8 pagi sehingga 5 petang pada hari-hari tertentu yang akan diputuskan dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, sekiranya perkhidmatan itu mendapat sambutan dan berjalan lancar dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, barulah akan diperluaskan ke pejabat cawangan Bahagian Zakat dan Fitrah yang terletak di daerah lain.

Aidi berkata, kaedah itu merupakan salah satu daripada empat kaedah pembayaran zakat fitrah yang mendapat kebenaran daripada Pengarah Kesihatan Negeri Sabah pada 27 April lalu.

Katanya, dalam usaha mengutip pembayaran zakat fitrah, MUIS perlu mematuhi tatacara dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Selain kutipan melalui kaunter pandu lalu, pembayaran zakat fitrah boleh dibuat melalui kutipan secara langsung oleh wakil Amil (pemungut zakat), pembayaran atas talian, melalui bank dan juga aplikasi online serta menerusi pembukaan kaunter kutipan zakat di ibu pejabat dan pejabat-pejabat cawangan Bahagian Zakat & Fitrah MUIS.

“Untuk kutipan secara langsung melalui Amil masih menunggu surat kebenaran daripada MUIS untuk memulakan tugas dan surat itu akan dikeluakan dalam masa terdekat.

“Terdapat sebanyak 39 wakil Amil dan 1,930 orang Amil telah dilantik di seluruh Sabah,” katanya dalam sidang media mengenai kaedah pembayaran zakat fitrah negeri Sabah, di Wisma MUIS, di sini hari ini.

Sejak pembayaran zakat fitrah atas talian melalui bank diperkenal pada 24 April lalu, MUIS telah menerima sejumlah RM 185,000. Ia melibatkan pembayaran 7,000 orang. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *