Kami Tidak Beritahu Faedah Dilupus, Kata BNM Susulan Kekeliruan

Bank Negara Malaysia berkata, bank perlu mematuhi Akta Sewa Beli 1967 dan mendapatkan persetujuan daripada pelanggan.

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan bahawa tidak ada perubahan dalam dasar moratorium 6 bulan ke atas pembayaran balik pinjaman sewa beli dan pembiayaan berkadat tetap Islam, susulan tercetusnya kekeliruan dalam kalangan orang awam berhubung pengumuman yang dibuatnya semalam.

Timbalan gabenor BNM Jesicca Chew Cheng Lian berkata, individu tidak perlu memohon moratorium, tetapi bank perlu mematuhi Akta Sewa Beli 1967 dan mendapatkan persetujuan daripada pelanggan.

Beliau berkata, bank akan menghubungi pelanggan mereka bagi memberi panduan tentang langkah yang perlu diambil.

“Kami telah jelaskan kepada bank bahawa mereka perlu memberi sejauh mungkin kemudahan kepada peminjam untuk menyempurnakan proses itu,” katanya dalam taklimat telesidang kepada media hari ini.

Jesicca Chew Cheng Lian

Pengarah Dasar Kewangan Pruden BNM Cindy Siah Hooi Hoon berkata, bank pusat itu tidak pernah memberitahu bahawa faedah akan dilupuskan, selain menambah ia sebaliknya telah menjelaskan bahawa faedah akan terus terakru.

Siah berkata, BNM juga menyebut bahawa kadar faedah tambahan yang mungkin dikenakan oleh sesetengah bank tidak boleh melebihi kadar yang ditetapkan dalam kontrak jual beli asal.

Chew menyedari tentang kekeliruan yang timbul berhubung kadar faedah dengan berkata, beberapa pihak yang bercakap mengenai isu itu menimbulkan tanggapan berbeza tentang bagaimana ia akan berjalan.

“Kami menyesali perkara itu dan berharap telah membantu membetulkan keadaan dan menjelaskan (kekeliruan),” katanya.

Beliau berkata, FAQ yang dikeluarkan oleh BNM sebelum ini menjelaskan kesan moratorium ke atas pinjaman yang berbeza hanyalah ilustrasi dan tidak mewakili semua bank.

“Sebaik sahaja bank mengeluarkan (FAQ mereka sendiri), kami fikir langkah mengeluarkan (ilustrasi) kami akan mengurangkan kekeliruan. Jadi itu yang kami buat,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *