47% Kes Positif COVID-19 Di Sabah Kontak Kepada Pesakit Tiada Gejala

Dr Christina Rundi

KOTA KINABALU, 1 Mei: Empat puluh tujuh peratus kes positif COVID-19 di Sabah merupakan kontak kepada kes positif tidak bergejala pada peringkat awal jangkitan, kata Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi.

Beliau berkata kesemua mereka adalah dalam golongan umur satu hingga 72 tahun dan tidak mempunyai penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan sebagainya.

“Selain itu daripada 315 kes positif yang dilaporkan di Sabah setakat ini, 60 daripadanya adalah kes sporadik yang dikesan melalui saringan sama ada mereka yang baharu balik dari luar Sabah atau melalui saringan bersasar dalam negeri.

Sebanyak 12 peratus daripada kes positif COVID-19 di Sabah adalah pelajar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Christina berkata pergerakan pulang semua pelajar  yang terkandas di universiti masing-masing perlu menjalani kuarantin untuk mengelakkan penularan COVID-19.

Menurut Dr Christina, beliau menyedari mengenai banyak persoalan dan rasa tidak puas hati ibu bapa berhubung keputusan kerajaan untuk mengkuarantin anak-anak mereka yang balik ke Sabah dari kampus masing-masing sebelum dibenarkan kembali ke pangkuan keluarga.

“Namun mereka yang mudah dijangkiti adalah golongan kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik kerana sistem imun yang lemah. Mereka ini adalah masyarakat yang berbeza dengan komuniti kampus yang rata-rata terdiri daripada golongan muda yang mempunyai sistem pertahanan badan yang baik,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *