12 Zon Kuning, 14 Zon Hijau, Sifar Zon Merah Di Sabah

Frankie Poon Ming Fung

KOTA KINABALU: Sabah terus mencatatkan perkembangan positif fasa pemulihan apabila merekodkan 12 Daerah Zon Kuning, 14 Daerah Zon Hijau dan sifar Daerah Zon Merah.

Perkembangan itu dikongsikan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon Ming Fung menerusi perkongsian di laman facebook rasminya, semalam.

Menerusi perkongsian menteri itu, 12 daerah Zon Kuning meliputi Tawau (16 kes aktif), Kota Kinabalu (15), Keningau (12), Lahad Datu dan Tuaran (6), Kinabatangan dan Penampang (4), Putatan (3) serta Beaufort, Kota Belud, Ranau dan Beluran (1).

14 Daerah Zon Hijau pula, Sandakan, Kunak, Sipitang, Papar, Tambunan, Semporna, Kudat, Pitas, Kota Marudu, Telupid, Tongod, Nabawan, Tenom dan Kuala Penyu.

Sabah juga dilaporkan menambah 13 kes sembuh baharu menjadikan jumlah keseluruhan kini 241 kes sembuh daripada 315 kes kumulatif kes positif selain empat kes kematian.

Tiga daerah yang ditanda merah berdasarkan angka kumulatif kes iaitu Tawau, Kota Kinabalu dan Lahad Datu kini diklasifikasikan sebagai Daerah Zon Kuning mengikut bilangan kes aktif di daerah-daerah terbabit.

Sehingga semalam juga, bilangan kes aktif positif COVID-19 di Sabah atau pesakit yang masih menerima rawatan adalah seramai 70 orang termasuk tujuh kes rawatan semula. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *