11 Ditahan Berkumpul, Solat Terawih Di Surau

Antara individu yang ditahan kerana ingkar PKP. – Foto Ihsan Polis

BEAUFORT: Polis menahan 11 lelaki termasuk seorang pelajar tahfiz semalam kerana  melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka ditangkap kerana didapati berkumpul untuk melakukan solat sunat tarawih di sebuah  surau di Kampung Binsuluk, Membakut, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, semua suspek berusia 15 hingga 41 itu ditahan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort ketika melaksanakan pemantauan PKP Op Covid-19.

Katanya, tangkapan itu susulan tular satu keping gambar mereka sedang menunaikan solat berjemaah melalui aplikasi WhatsApp sehingga menimbulkan rasa kurang senang dan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis menuju ke lokasi kejadian dan mencari semula semua individu yang terbabit seperti dalam gambar yang tular itu.

“Hasilnya menahan 11 orang daripada 14 orang jemaah yang solat isyak dan tarawih di surau berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, soal siasat terhadap semua suspek, mendapati mereka mengetahui pelaksanaan PKP dan menyedari tindakan itu salah di sisi undang-undang kerana sengaja berhimpun.

“Dalam pengetahuan semua suspek, larangan itu masih berkuat kuasa, namun tetap pergi solat berjemaah dan berkumpul di surau dengan alasan kampung mereka masih zon hijau dan tidak ada yang positif Covid-19.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan Tempatan) (No.4) 2020,” katanya.- BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *