PKP: Sabah Turut Benarkan Keluar Berdua Secara Bersyarat

Safar Untong

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah turut membenarkan setiap ketua keluarga membawa teman serumah untuk keluar berdua bagi membeli barangan makanan, kesihatan dan perubatan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Daruk Safar Untong berkata, bagi tujuan mendapatkan bekalan kesihatan dan perubatan, seseorang itu boleh ditemani orang lain yang semunasabahnya perlu.

“Selaras dengan Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No. 4) 2020, seseorang itu adalah dibenarkan untuk ditemani oleh seorang untuk keluar bagi mendapatkan atau membeli barangan keperluan seperti makanan, perubatan dan apa-apa keperluan, dengan syarat orang yang menemani itu hendaklah yang tinggal serumah dengannya.

“Sehubungan dengan itu, untuk barangan penjagaan kesihatan dan perubatan, seseorang itu boleh ditemani oleh mana-mana orang lain yang semunasabahnya perlu.

“Ini bererti seseorang itu boleh ditemani oleh seorang dalam kenderaan semasa keluar tertakluk kepada penerangan di atas,” katanya.

Semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam sidang akhbar berkata, setiap keputusan yang diambil Kerajaan Persekutuan akan dibincangkan mengenai kesesuaian pelaksanaannya di Sabah okeh Pusat Arahan Covid-19 Sabah.

Katanya, pusat arahan kemudiannya akan memaklumkan kepadanya sama ada akan menuruti langkah sama atau pun tidak seperti yang diputuskan hari ini dalam membenarkan dua individu keluar bersama atas syarat tertentu.

“Kita akan lihat bagaimana cara-cara, keputusan yang telah dibuat oleh Persekutuan itu kita akan lihat, lepas itu pusat arahan akan rujuk dengan saya dan kita akan buat ketetapan selanjutnya,” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *