PKP: Kerajaan Sabah Benarkan SAMUR, SOGT Beroperasi Seperti Biasa Bermula Esok

Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 29 April: Kerajaan Sabah hari ini memutuskan untuk membenarkan kilang Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR) di Sipitang dan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis beroperasi seperti biasa bermula esok sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keputusan berkenaan dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

“Sebelum ini saya telah menerima permohonan daripada Petronas untuk kembali beroperasi dan kita telah bincangkan dan teliti perkara ini sebelum membenarkan mereka beroperasi seperti sedia kala.

“Manakala operasi offshore juga boleh beroperasi, namun kita telah maklumkan kepada Petronas agar semua pekerja mendapat saringan yang betul untuk memastikan keselamatan dan kesihatan sentiasa terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan pakar perubatan daripada China dan penyampaian sumbangan daripada beberapa pihak di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Mengenai pelajar Sabah yang terkandas di institusi pengajian masing-masing berikutan penguatkuasaan PKP bagi mengekang penularan COVID-19 yang akan balik ke negeri ini bermula Mei ini, Mohd Shafie berkata kira-kira 7,000 pelajar akan dihantar balik oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

“Sekiranya pelajar berkenaan kembali ke negeri ini mereka perlu menjalani kuarantin …namun pusat kuarantin di Sabah tidak dapat menampung jumlah berkenaan.

“Kita telah mengambil pendekatan untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk melaksanakan saringan di sana sebelum mereka dihantar balik ke Sabah. Sekiranya mereka didapati sihat mereka boleh dihantar pulang dan menjalani kuarantin diri di rumah masing-masing dan bukan di pusat kuarantin,” katanya.

Mengenai kunjungan pakar perubatan daripada China yang tiba di Sabah semalam, Mohd Shafie berkata  kerajaan Sabah sangat berterima kasih dengan kunjungan dan atas kesudian mereka berkongsi pengalaman berhadapan dengan COVID-19 di China.

Terdahulu, kerajaan Sabah turut menerima sumbangan masing-masing 10,000 keping  penutup hidung dan mulut N95, ‘Surgical Face Masks’, ‘Nursing Face Masks’, dan 2,500 unit ‘Goggles’ daripada Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia.

Kerajaan Sabah juga menerima 601 buah kotak mengandungi 6,000 helai ‘Protective Medical Coverall’, 6,000 helai gaun isolasi, 24,000 pasang sarung tangan, 12,000 pasang penutup kasut, 6,000 unit Goggles, 56,000 keping penutup hidung dan mulut N95, 6,000 keping pelindung muka, 107,850 keping penutup hidung dan mulut tiga lapisan, dan 6,000 helai penutup kepala daripada KTS Group, serta bungkusan peralatan daripada Mega City Avenue Sdn Bhd, Malaysian Relief Agency (MRA), Mr. DIY Trading Sdn Bhd dan The Edge.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *