Pesawat Khas Digunakan Untuk Bawa Balik Pelajar Sabah, Sarawak Di Semenanjung

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA: Pesawat yang digunakan untuk menghantar pulang pelajar Sabah dan Sarawak di Semenanjung, akan turut digunakan untuk membawa balik pelajar Semenanjung yang berada di kedua-dua negeri itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia adalah kerana pesawat itu merupakan pesawat khas dan kos perjalanannya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.“Inilah kebaikan kerajaan kita dan saya percaya pesawat sama akan kita bawa pelajar Semenanjung yang berada di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Pada Jumaat lepas, Ahli Parlimen Bera itu dilaporkan sebagai berkata, penghantaran pulang pelajar ke Sarawak dan Sabah akan bermula Jumaat ini membabitkan lima lapangan terbang.

Lapangan terbang yang terbabit ialah Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Pelajar dari 5 insitusi pengajian tinggi di Zon Utara telah selamat tiba ke rumah masing-masing di Zon Tengah.

“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menghantar pulang 653 pelajar di Zon Utara ke kampung halaman di Zon Utara dan 280 pelajar di Zon Sarawak ke kampung halaman di Zon Sarawak mulai hari ini dan esok,” katanya lagi. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *