Lelaki Maut Kemalangan Di Tuaran

Keadaan kereta dipandu mangsa yang terbabit kemalangan di Jalan Sulaman – Serusup, Tuaran.-

TUARAN: Seorang lelaki maut selepas kenderaan jenis Perodua Kancil dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza di Jalan Sulaman – Serusup, di Kampung Tambalang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari itu, mangsa Jeovintan Eyas, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah dibahagian badan dan kepala.

Kenderaan MPV Toyota Avanza turut rosak akibat kemalangan di Jalan Sulaman – Serusup, Tuaran.

Pemandu kenderaan Toyota Avanza, iaitu lelaki berusia 24 tahun cedera dan menerima rawatan di Hospital Tuaran.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati kenderaan Toyota Avanza dari arah Sepanggar menuju ke Tuaran dan ketika tiba di lokasi kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Akibat daripada itu, kenderaan Toyota Avanza melanggar sebuah kereta Perodua Kancil yang datang dari arah depan dipandu mangsa.

“Pemandu Perodua disahkan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu Toyota Avanza cedera,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran turut berada di lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit pada kereta Perodua Kancil.- Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *