Jalan Licin, Sempit, Berlubang, Namun Cikgu SK Bangingod Tidak Patah Semangat

Rombongan Ziarah Cakna menyampaikan sumbangan dan memberi maklumat mengenai COVID-19 kepada keluarga murid SK Bangingod yang terlibat. – Foto Astro AWANI

LAHAD DATU: Walaupun dalam hujan dan terpaksa meredah laluan licin, berlubang dan sempit, ia tidak mematahkan semangat guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Bangingod untuk menyampaikan sumbangan kepada murid-murid dari keluarga yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SK Bangingod Yandy Merika berkata, sebanyak 54 buah keluarga kepada murid sekolah itu, termasuk anak-anak pra-sekolah, terlibat dalam program Ziarah Cakna Sentuhan Kasih Ramadan (ZCSKR) baru-baru ini.

“Rombongan kami meredah laluan sempit, berlubang dan licin akibat hujan, sejauh 20 kilometer, bagi memberi sumbangan kepada salah seorang pelajar yang tinggal di Ladang Foremost dan Tamaco, dalam daerah kecil Tungku, dekat Felda Sahabat Lahad Datu.

Rombongan ZCSKR menyampaikan sumbangan dan memberi maklumat mengenai COVID-19 kepada keluarga murid SK Bangingod yang terlibat. – Foto Astro AWANI

“Sumbangan yang diberikan terdiri daripada makanan asas dan diberikan kepada keluarga murid yang terkesan dengan PKP,” katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, sepanjang program ziarah, murid-murid juga turut diberikan taklimat ringkas mengenai langlah-langkah mencegah penularan wabak COVID-19.

“Istimewanya Ziarah Cakna kali ini, kita turut memberi sumbangan topeng muka kepada semua murid, sekali gus membuat tinjauan kesihatan dan mengenal pasti mereka yang mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Tambah Yandy, program ziarah itu turut disertai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Sub Inspektor Tan Jin Soon, Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Hussin Mohd Salleh dan wakil-wakil penyumbang.

Yandy dan seluruh warga pendidik SK Bangingod berharap agar pemberian sumbangan itu dapat meringankan beban keluarga murid-murid yang terkesan akibat PKP.

“Semoga setiap murid dan keluarga dapat menjalankan ibadah puasa, dan diharapkan dengan taklimat ringkas yang diberikan tadi, mereka dapat turut serta dalam usaha mengekang penularan virus COVID-19 dan memutuskan rangkaiannya,” tambahnya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *