Penolong Pengurus Ladang Maut Dirempuh Penunggang Motosikal Lain Di Tawau

TAWAU: Seorang penolong pengurus sebuah ladang di sini maut selepas motosikal yang dinaikinya dirempuh sebuah motosikal lain di Jalan Merotai-Bombalai, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 9.03 pagi, mangsa, A. Yogaruban, 26, maut di lokasi kejadian, akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan menuju ke tempat kerja dari arah Ladang Sungai Imam.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa dikatakan membelokkan kenderaannya ke simpang sebelah kanan menuju pintu masuk ladang.

“Dalam masa sama seorang pekerja swasta berumur 36 tahun juga menunggang motosikal datang dari arah sama dalam perjalanan ke Merotai, cuba memintas mangsa yang sedang membelok,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tambah Peter, disebabkan jarak terlalu dekat, suspek gagal berhenti dan merempuh bahagian tayar belakang motosikal mangsa.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa terseret lebih 17 meter dan maut.

“Suspek pula mengalami patah tulang hidung dan dirawat di Hospital Tawau,” katanya.

Siasatan awal mendapati kedua-dua penunggang motosikal itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol.

“Setakat ini, kemalangan berpunca daripada kecuaian suspek yang memandu secara melulu dan tidak memberi laluan kepada mangsa untuk masuk ke simpang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh juga disiasat mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020,” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *