Pembayaran Fasa Kedua BPN Dibuat Mulai 4 Mei Ini – Menteri Kewangan

KUALA LUMPUR: Pembayaran Fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional untuk golongan B40 dan M40 melibatkan isi rumah dan individu bujang akan dilakukan bermula 4 Mei ini.

Pembayaran membabitkan peruntukan berjumlah RM5.63 bilion itu akan memberi manfaat kepada 8.3 juta isi rumah.

Terbaru, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberitahu bahawa fasa kedua BPN akan mula dilakukan pada 4 Mei ini.

Menerusi BPN, kerajaan menggariskan empat kategori penerima bantuan.

Kategori pertama adalah kira-kira 4 juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah yang akan menerima bantuan RM1,600 dengan bayaran RM1,000 akan dibayar pada 6 April dan baki RM600 pada Mei.

Bagi kategori kedua, hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 akan menerima bayaran RM1,000 membabitkan bayaran RM500 6 April dan baki RM500 bulan depan.

Kategori ketiga adalah sekitar 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah yang akan menerima RM800 dengan bayaran RM500 untuk fasa pertama dan baki RM300 pada fasa kedua bulan depan.

Kategori keempat adalah 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000 yang menerima RM500 membabitkan bayaran sebanyak RM250 akan dibuat bermula 6 April dan baki RM250 pada Mei.

SumbeR: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *