Kilang Baja, Jeti Persendirian Di Sabah Dibenarkan Beroperasi

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah membenarkan jeti persendirian bagi industri tanaman sawit, petroleum dan gas serta kilang baja beroperasi di Sabah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Kerajaan Sabah, Datuk Safar Untong berkata, keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Pusat Arahan Covid-19 Sabah, di sini hari ini.

Safar Untong

Beliau berkata, sebanyak 10 jeti persendirian bagi aktiviti pengendalian minyak sawit dengan perpaipan mula dibenarkan untuk beroperasi.

Katanya, turut dibenarkan beroperasi adalah 32 jeti persendirian bagi aktiviti pengendalian pemunggahan buah tandan segar kelapa sawit.

Jelas beliau, dua jeti persendirian bagi aktiviti pengendalian petroleum dan gas juga dibenarkan beroperasi di Sabah.

Menurutnya, kerajaan negeri juga bersetuju membenarkan 33 syarikat kilang baja berlesen di Sabah untuk beroperasi bagi memenuhi keperluan tempatan sahaja dan bukan untuk dieksport.

Sementara itu, bagi operasi penghantaran barangan dan perkhidmatan penting serta semua kebenaran khas di Sabah, semua operasi dan kebenaran itu dilanjutkan sehingga 12 Mei ini mengikut tatacara pengoperasian yang telah ditetapkan. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *