Covid-19: Satu Kes Baharu Di Sabah Hari Ini, Kes Aktif Menurun

KOTA KINABALU: Sabah hari ini mencatat pertambahan satu kes Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 313.

Bagaimanapun, jumlah kes aktif di negeri ini menunjukkan penurunan, hari ini, apabila mencatat 92 kes berbanding 96 semalam.

Ini kerana seramai lima lagi pesakit jangkitan wabak itu telah sembuh dan dibenarkan pulang, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh di Sabah setakat ini seramai 217 orang.

Selain itu, jumlah pesakit yang dirawat semula kekal seramai tujuh orang, sama seperti semalam.

Statistik terbaharu itu dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon menerusi Facebook beliau, sebentar tadi.

Dalam perkembangan sama, tiada kematian dicatatkan di Sabah, hari ini, dengan jumlah kes kematian akibat Covid-19 di negeri ini kekal empat iaitu dua di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau serta Tambunan.

Sabah juga kekal negeri keenam tertinggi mencatatkan Covid-19 di belakang Selangor yang mencatat sebanyak 1,403; Kuala Lumpur (1,214); Johor (660); Sarawak (496); dan Negeri Sembilan (436).- Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *