COVID-19: Pasukan Pakar Perubatan China Dijangka Tiba Di Sabah Hari Ini

Datuk Frankie Poon Ming Fung. – Foto FB Frankie Poon Ming Fung

KOTA KINABALU, 28 April: Lapan pakar perunding perubatan dari China dijangka tiba di Sabah hari ini untuk berkongsi pengalaman mereka menangani wabak COVID-19, menurut Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri Datuk Frankie Poon Ming Fung.

“Kami mengalu-alukan kedatangan mereka dan teruja untuk bertemu mereka kerana percaya kami boleh mempelajari daripada pengalaman mereka menangani masalah pandemik ini semasa kunjungan dua hari ke sini,” katanya.

Poon berkata demikian kepada pemberita selepas menerima 48,000 unit penutup hidung dan mulut 3 lapisan; 2,000 unit penutup hidung dan mulut KN95; 900 unit penutup hidung dan mulut N95; dan lima alat termometer dari Persatuan Persahabatan Ma-Zhong Sabah di Wisma Tun Fuad Stephens di sini semalam.

Turut hadir Konsul Jeneral Republik Rakyat China Kota Kinabalu Liang Caide.

Sementara itu, Presiden persatuan itu, Dr Oh Ei Sun berkata Ma-Zhong Sabah menghubungi pihak berkuasa berkaitan di China untuk mendapatkan sumbangan material ketika wabak COVID-19 di Malaysia mencapai tahap yang ketara.

Beliau berkata persatuan itu sehingga kini telah memperoleh lebih RM250,000 sumbangan material, yang telah diedarkan kepada pihak berkuasa tempatan yang paling memerlukan.

“Sempena persahabatan yang telah lama terjalin antara Sabah dan China, Ma-Zhong Sabah akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa relevan di Malaysia dan China untuk memerangi wabak itu, termasuk menghulurkan bantuan kepada pasukan pakar perunding perubatan China yang bakal tiba,” kata Oh.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *