Tiga Daerah Di Sabah Kekal Sebagai Zon Merah

KOTA KINABALU: Sehingga 12 tengah hari semalam, jumlah zon merah bagi kes Covid-19 di Malaysia kekal 13 kawasan termasuk Tawau, Kota Kinabalu dan Lahad Datu.

Menerusi info grafik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ketiga-tiga kawasan di Sabah itu kekal sebagai zon merah berdasarkan keseluruhan kes yang dilaporkan.

Sehingga semalam, tiada sebarang kes baharu dilaporkan di Sabah dan Tawau kekal sebagai daerah tertinggi dengan 81 kes termasuk 59 kes yang telah pulih serta 21 kes aktif. Manakala, Kota Kinabalu pula mempunyai 47 kes termasuk 26 kes yang pulih serta 19 kes aktif. Lahad Datu dengan 42 kes termasuk 33 kes yang pulih dan sembilan kes aktif.

Di seluruh Malaysia, Kuala Lumpur kekal sebagai negeri tertinggi mencatatkan kes Covid-19 dengan 443 kes aktif, dengan Lembah Pantai mencatatkan kes terbanyak iaitu 280 kes aktif.

Di Kuala Lumpur hanya kawasan Cheras kekal zon jingga, sementara kawasan lain adalah zon merah.

Selain itu, Johor turut mencatatkan kes yang tinggi dengan 273 kes sehingga semalam, diikuti dengan Selangor dengan 230 kes; Negeri Sembilan 88 kes aktif dan Pahang dengan 80 kes.

Setakat ini, sebanyak 5,780 kes dilaporkan di Malaysia dan sebanyak 1,820 adalah kes yang masih aktif.

Sebanyak 98 kematian di laporkan di seluruh Malaysia dan 3,862 kes yang sudah pulih.

Seramai 36 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 15 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *