Pelajar IPT Mula Balik Ke Kampung Hari Ini

KUALA LUMPUR, 27 April- Sebilangan besar pelajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta mampu tersenyum lebar hari ini kerana akan memulakan pergerakan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Bagi pelajar beragama Islam, sudah pasti terbayang hidangan juadah berbuka puasa yang bakal dinikmati bersama keluarga selain menjalani ibadah puasa dengan yang tersayang.

Langkah membawa pulang pelajar yang terkandas di kampus dan sekitar ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu merupakan antara sedikit kelonggaran yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis lepas.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad dalam kenyataan semalam bagaimanapun menyebut, pelajar yang berada dalam zon hijau sahaja dibenarkan pulang ke rumah masing-masing yang juga terletak dalam zon hijau.

Persiapan rapi dilakukan dengan kerjasama pelbagai agensi dan Kementerian Pengajian Tinggi turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa pelajar dari pusat pelepasan di IPT yang telah dikenal pasti.

Dianggarkan terdapat kira-kira 100,000 pelajar yang terlibat, memetik Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, bagi mereka yang terperangkap di kampung (bukan pelajar) atau tempat lain yang ingin pulang ke destinasi masing-masing, perlu terus bersabar.

Ismail Sabri menjelaskan tarikh pergerakan mereka yang berada di kampung untuk pulang ke destinasi masing-masing bukan bermula pada 1 Mei ini.

Jelasnya, terdapat kekeliruan mengenai tarikh pergerakan tersebut apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kenyataan bahawa 1 sehingga 3 Mei adalah tarikh perjalanan dibenarkan bermula.

Menurutnya tarikh yang ditetapkan sehingga 1 Mei itu adalah pendaftaran melalui janji temu di balai polis, selain pendaftaran melalui aplikasi Gerak Malaysia.

Setakat ini sebanyak 300,000 sudah mendaftar dengan aplikasi itu termasuk 100,000 yang memohon untuk mendapatkan permit pergerakan bagi melakukan perjalanan kerana terkandas di kampung halaman dan tidak sempat pulang ke rumah masing-masing susulan PKP.

Ismail Sabri berkata selepas mendapat data dan maklumat daripada permohonan orang ramai itu, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia akan membincangkan Prosedur Operasi Standard termasuk menetapkan tarikh pergerakan tersebut.

Setakat 12 tengah hari semalam, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 5,780 kes, dengan 98 kes kematian.

Jumlah kumulatif kes pulih dan discaj di Malaysia pula ialah 3,862 kes, iaitu 66.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *