Covid-19: Satu Kes Baharu Di Sabah Hari Ini

KOTA KINABALU: Sabah, hari ini, mencatat pertambahan satu kes Covid-19 dengan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 312.

Menurut statistik terbaharu yang disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau, pertambahan itu membabitkan daerah Kota Kinabalu.

Pertambahan satu kes itu juga menyebabkan jumlah kes Covid-19 aktif dan masih menerima rawatan ketika ini meningkat satu kes iaitu sebanyak 96 berbanding 95 kes, semalam.

Ini kerana juga, tiada pesakit yang sembuh daripada jangkitan wabak itu dicatatkan di Sabah, hari ini, dengan jumlah keseluruhan pesakit yang telah sembuh dan discaj kekal seramai 212 orang.

Sementara itu, tiada kes kematian dicatatkan hari ini dengan jumlah korban akibat Covid-19 di Sabah kekal sebanyak empat kes iaitu dua di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau serta Tambunan.

Sabah juga kekal negeri keenam tertinggi mencatatkan jumlah kes Covid-19 selepas Selangor yang kini mencatat 1,398 kes, Kuala Lumpur (1,200), Johor (659), Sarawak (488), dan Negeri Sembilan (435). – Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *