Covid-19: Malaysia Terus Catat Perkembangan Baik

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Malaysia terus mencatatkan perkembangan baik kes Covid-19 apabila bilangan pesakit pulih melebihi kes jangkitan baharu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan hari ini seramai 95 pesakit sembuh dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih daripada jangkitan itu sehingga kini seramai 3,957 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 40 kes baru dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 5,820 orang.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,764 kes.

“Daripada jumlah itu, seramai 37 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 17 pesakit memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19, sekali gus jumlah keseluruhan angka korban adalah sebanyak 99 orang.

“Kes kematian ke-99 (kes ke-4087) adalah lelaki warga Malaysia berumur 78 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok.

“Mangsa dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 7 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 27 April 2020 jam 4.31 pagi,” katanya.

SumbeR: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *