Covid-19: Kes Tambunan Libatkan Anak-Beranak Pulih Sepenuhnya

KOTA KINABALU: Tiga kes Covid-19 yang menjangkiti sebuah keluarga di Tambunan telah pulih sepenuhnya.

Kes yang dilaporkan di Tambunan ini melibatkan satu kematian pada 5 April lalu manakala, dua pesakit lagi telah pulih.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, kes anak-beranak yang dijangkiti Covid-19 di Tambunan ini mempunyai sejarah perjalanan ke Semenanjung Malaysia. Pesakit Covid-19 di Tambunan ini mula dirawat di Hospital Keningau pada 28 Mac lalu.

Katanya, biarpun tiada kes baharu dilaporkan sejak 7 April di Tambunan namun, aktiviti kawalan dan pencegahan diteruskan bagi memastikan tiada jangkitan baru di daerah berkenaan.

“Kolaborasi antara agensi kerajaan serta kerjasama masyarakat Tambunan banyak membantu Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tambunan dalam menangani wabak Covid-19.

“Antara aktiviti yang dijalankan adalah disinfeksi di Pekan Tambunan yang dilakukan Majlis Daerah Tambunan dan Jabatan Bomba & Penyelamat.

“Malah, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) turut membantu memastikan semua kemasukan orang luar ke kampung dimaklumkan kepada PKD Tambunan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, PKD Tambunan juga menyediakan bilik mandi dan persalinan tambahan untuk petugas di lapangan.

Christina berkata, setakat ini daripada 311 kes yang dilaporkan di Sabah, 212 pesakit telah pulih dan 95 pesakit lagi masih dirawat di hospital.

Kes kematian di Sabah kekal empat kes dimana, dua kes kematian direkodkan di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau dan Tambunan.

Sehingga kini, sejumlah 1,749 orang telah discaj dari Pusat Kuarantin termasuk 27 orang yang tamat menjalani kuarantin di Institut Pendidikan Guru Keningau dan dibenarkan pulang semalam.

Sementara itu, bilangan kumulatif individu yang tamat menjalani perintah kuarantin di rumah selama 14 hari adalah seramai 3,586 orang dan bilangan kontak rapat yang tamat menjalani kuarantin di rumah adalah seramai 15,205 orang. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *