Kes Malaria Di Sabah Berkurang Sepanjang PKP

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyumbang kepada penurunan 43 peratus kes malaria yang dilaporkan di Sabah.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, sehingga 18 April, sebanyak 407 kes malaria zoonotik dilaporkan di Sabah termasuk satu kes import (jangkitan dari luar negara); dua kes introduced dan satu kes induced.

“Sempena Hari Malaria Sedunia pada setiap 25 April, ia mengingatkan kita untuk memperbaharui azam kita untuk mengeliminasi atau mensifarkan malaria. Jika dilihat pada 2018, Sabah berjaya mencapai sasaran sifar malaria.

“Tema Hari Malaria Sedunia tahun ini ‘Sifar malaria bermula dengan saya’ memperlihatkan bagaimana usaha menyifarkan jangkitan malaria mampu berjaya dengan kerjasama semua pihak.

“Maka, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yakin dengan kerjasama pelbagai agensi, komitmen yang tinggi dan sikap berdaya tahan semua lapisan masyarakat, kita juga mampu membendung jangkitan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Selaras dengan itu, JKNS mengingatkan orang awam untuk terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti menghadkan perjalanan, amalkan jarak sosial, menggunakan topeng penutup hidung dan mulut dan menjaga kebersihan dengan kerap mencucui tangan agar dapat memutuskan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *