Ingkar PKP: Wanita Antara Tiga Ditahan, Lalok Syabu Lagi

Dua daripada tiga suspek ditahan.

SIPITANG: Tigak individu termasuk seorang wanita bukan sahaja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah dalam keadaan khayal ketika ditahan dalam sekatan jalan raya Op Covid-19 di Kampung Merintaman, di Sipitang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, ketiga-tiga suspek menaiki kenderaan Perodua Alza ditahan anggota polis untuk pemeriksaan kerana dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati suspek lelaki berusia 28 dan 32 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dipercayai warga Filipina manakala wanita terbabit adalah warga tempatan berusia 37 tahun.

Ketua Polis Daerah Sipitang Champin Piuh berkata, ketika ditahan semua suspek dalam keadaan khayal.

“Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga suspek disyaki baru sahaja menghisap dadah jenis syabu kerana ketika ditahan mereka masih dalam keadaan khayal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sipitang untuk siasatan lanjut.

“Siasatan mendapati juga wanita terbabit baru dijatuhkan hukuman oleh mahkamah mengikut Seksyen 11(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan dijatuhi hukuman kerja sosial cuci tandas tetapi ditangkap lagi atas kesalahan ingkar PKP.

“Semua suspek ditahan mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.3) 2020, Seksyen 6(1)(a) Akta Imigresen, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya menahan seorang lelaki dan wanita berusia 34 dan 37 dan merampas 5.72 gram dadah jenis syabu di di sebuah rumah di Jalan Pantai Sindumin, jam 2 petang semalam.

“Kedua-dua suspek bersama barang kes dibawa ke IPD Sipitang untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi PKP dan duduk di rumah jika tidak ada urusan penting,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *