Covid-19: Tujuh Pesakit Pulih Dirawat Semula Di Sabah

KOTA KINABALU: Bilangan kes Covid-19 yang telah pulih tapi dirawat semula di Sabah bertambah daripada dua kes pada 24 April kepada tujuh kes setakat semalam.

Daerah yang melaporkan kes dirawat semula semalam adalah Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tuaran, Kinabatangan, Putatan dan Kota Belud. Kesemua daerah ini melaporkan satu kes dirawat semula kecuali Tuaran dengan dua kes.

Setakat semalam, keseluruhan kes yang masih dirawat di enam daerah ini adalah Kota Kinabalu dengan 19 kes; Lahad Datu sembilan kes; Tuaran 11 kes, Kinabatangan enam kes, Putatan tiga kes dan Kota Belud satu kes.

Dalam kes sebelum ini, kes dirawat semula berlaku apabila ujian sampel pesakit yang berikutnya dikesan positif berbanding ujian yang dijalankan sebelumnya.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata demikian bagi merujuk kepada bilangan kes Covid-19 yang sedang dirawat di seluruh Sabah.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata, masih terdapat 100 orang sedang dirawat di Sabah daripada keseluruhan 311 kes yang dilaporkan di negeri ini. Bilangan kes yang pulih adalah sebanyak 207 kes dan bilangan kematian kekal dengan empat kes.

Mengenai bilangan pesakit yang masih berada di Pusat Kuarantin, terdapat sebanyak 583 orang individu masih ditempatkan di Pusat Kuarantin. Manakala, bilangan kumulatif individu yang discaj dari pusat kuarantin pula adalah sebanyak 1,681.

Bagi individu yang tamat menjalani kuarantin di rumah pula, sehingga kini seramai 14,275 orang telah tamat menjalani pengawasan dan pemerhatian kuarantin di rumah di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Menyentuh tentang keupayaan Makmal Hospital Queen Elizabeth (HQE) dalam menjalankan pengesanan ujian sampel Covid-19, sejak kapasiti makmal diubah suai pada 30 Mac lalu, Pasukan Makmal HQE telah berjaya menjalankan 5,460 ujian, setakat ini. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *