Alhamdulillah, Saya Mampu Bertugas – PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui diberikan peringatan supaya lebih berhati-hati sebagai bekas pesakit kanser ketika negara sedang berhadapan penularan wabak Covid-19.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak merasa gusar mengenai kemungkinan imunitinya tidak begitu tinggi berikutan penyakitnya itu sebelum ini.

“Alhamdulillah, setakat ini saya mampu untuk menjalankan tugas dan tak terganggu sebab saya pernah menghadapi masalah sebegitu,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian dalam Temubual Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di televisyen, malam ini.

Beliau ditanya mengenai nasihatnya kepada rakyat dalam menghadapi situasi penularan Covid-19 ketika ini, berdasarkan pengalamannya yang berjuang berdepan kanser sebelum ini.

Menurutnya, rakyat perlu menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu, dalam keadaan hidup terbatas ketika negara sedang situasi penularan wabak Covid-19.

Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, rakyat mesti membuat sesuatu yang boleh menambahkan manfaat kepada kehidupan mereka dan keluarga.

“Sebagai seorang bekas pesakit kanser yang pernah berdepan situasi menggusarkan, saya percaya rakyat tahu bahawa mereka harus terus bertahan berdepan cabaran dihadapi ketika ini.

“Saya fikir daripada sudut rakyat juga mereka faham, dalam situasi apa sekali pun, mereka mesti pastikan supaya ada upaya, daya tahan dan bekerja seperti biasa, malah dalam keadaan terperangkap dalam rumah sendiri, ada perkara tertentu boleh mereka manfaatkan.

“Saya lihat ini dalam banyak siaran, video dan berita yang saya terima, itu sudah mula diterima sebagai satu perkara agak biasa oleh sebahagian besar warga kita,” katanya.

Perdana Menteri turut ditanya mengenai apa sebenarnya yang mahu disampaikan di sebalik ucapan seloroh beliau yang disiarkan secara langsung sebelum ini.

Dalam perutusan khas sebelum ini, rakyat melihat beliau selalu berseloroh, memberi perumpamaan serta penuh penceritaan dan yang terbaharu, kisah Makcik Kiah.

Beliau berkata, apabila diwawancara dan mahu bercerita mengenai sesuatu perkara, beliau sebagai Perdana Menteri perlu mengetahui siapa penontonnya dan dalam kes ini, penonton beliau kebanyakannya ialah rakyat biasa.

“Penonton saya itu rakyat kita, tetapi sebahagian besarnya rakyat biasa. Mereka harus faham apa Perdana Menteri cakap. Ini nak menceritakan mengenai hal menyentuh kehidupan mereka. Dalam bahasa dan contoh mudah.

“Banyak beri reaksi kepada ucapan saya. Ada kata, oh bagus cerita pasal kuih tak jadi tu. Saya tahu dalam Facebook (FB) itu agak popular, siap ucap terima kasih kepada saya.

“Bukan kerana apa, kerana dengan cara begitu agak lebih berkesan, bahasa mudah dan saya tengok balik supaya yang menulis skrip untuk saya baca, jangan terlalu ‘bombastic’. Bahasa yang agak tinggi sampai orang tak faham apa yang Perdana Menteri cakap ni,” katanya.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *