Remaja Rempuh Sekatan, Seret Anggota PGA Di Lahad Datu

Kenderaan digunakan suspek dan mangsa yang cedera (kanan). Foto Ihsan Pembaca

LAHAD DATU: Remaja perempuan dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan positif dadah merempuh sekatan jalan raya (SJR) lalu melanggar anggota Pasukan Gerakan Am (PGA)di Jalan Muhibbah, dekat Lahad Datu, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, anggota PGA berkenaan dilaporkan parah akibat turut terseret selepas dirempuh.

Manakala, suspek berusia 18 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian suspek dipercayai baru balik dari rumah rakannya tidak jauh dari SJR berkenaan dan memandu dalam keadaan mabuk.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek tidak dapat mengawal kenderaan lalu merempuh dan menyeret seorang anggota polis sejauh kira-kira tujuh meter.

“Akibat kejadian, mangsa berkenaan mengalami patah tangan kanan dan cedera di dahi.

“Sejurus kejadian, mangsa dikejarkan ke Hospital Lahad Datu dan kini sedang menerima rawatan lanjut.

“Sementara itu, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memandu laju dalam keadaan mabuk,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, hari ini. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *