KK, Tawau, Lahad Datu Bukan Lagi Zon Merah Jika Rujuk Kes Aktif

KOTA KINABALU: Status zon merah di Kota Kinabalu, Tawau dan Lahad Datu ketika ini adalah berdasarkan kepada jumlah kes, iaitu nilai yang digunakan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk pengelasan zon.

Pengarahnya, Datuk Dr. Christina Rundi berkata, jika melihat kepada jumlah kes Covid-19 yang masih aktif pula, ketiga-tiga daerah berkenaan sebenarnya boleh dikategorikan sebagai zon kuning.

“Jika dirujuk kepada bilangan kes aktif semasa, ketiga-tiga daerah ini adalah zon

kuning, apabila semua pesakit telah sembuh, zon tersebut akan menjadi zon hijau,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyelaras semula kod warna zon kepada tiga iaitu zon hijau (tiada kes), zon kuning bagi satu hingga 40 kes dan zon merah untuk kawasan yang lebih daripada 40 kes.

Berdasarkan statistik, bilangan kumulatif kes yang dilaporkan di Tawau adalah 81 kes termasuk 59 kes pulih, 21 kes sedang dirawat dan satu kematian.

Di Lahad Datu pula, sebanyak 47 kes dilaporkan dengan 27 telah pulih dan 18 kes sedang dirawat.

Untuk Kota Kinabalu, keseluruhan kes adalah 42 kes termasuk 33 kes sembuh dan hanya sembilan kes sedang dirawat, manakala dua kes kematian dilaporkan di Kota Kinabalu setakat ini.

Sehingga semalam, dua kes baharu dilaporkan (Kota Kinabalu), menjadikan jumlah keseluruhan kes di Sabah adalah sebanyak 311 kes termasuk 209 kes yang telah pulih.

Christina berkata, JKNS lebih memberi penekanan kepada langkah-langkah kawalan dan pencegahan yang perlu dibuat apabila terdapat kes Covid-19 dan bukan hanya fokus kepada status zon.

“Siasatan akan dibuat ke atas semua kes Covid-19 dan kontak rapat mereka berdasarkan pergerakan dalam tempoh 14 hari sebelum permulaan.

“Sampel daripada kontak akan diambil dan kontak akan diarah untuk menjalani kuarantin di rumah, bagi mana-mana lokaliti yang melaporkan bilangan kes yang tinggi, saringan bersasar akan dilaksanakan tanpa mengira status zon,” ujarnya.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *