COVID-19: PUSPAKOM Kembali Operasi 29 April Ini

KUALA LUMPUR: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) akan kembali beroperasi bagi pemeriksaan kenderaan perdagangan kategori tertentu bermula 29 April ini.

Ia membabitkan semua cawangan PUSPAKOM di seluruh negara kecuali Batu Caves, Pandan Mewah, Glenmarie dan Taman Daya, Johor.

PUSPAKOM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, perkhidmatan trak bergerak juga akan beroperasi semula pada tarikh sama.

“Cawangan PUSPAKOM di kawasan Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Perlis, Pahang, Sabah dan Sarawak akan beroperasi pada Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum), bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Manakala di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu operasi pada Ahad hingga Khamis (kecuali cuti umum) mula jam 8 pagi hingga 5.30 petang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kategori kenderaan perdagangan yang boleh diterima oleh PUSPAKOM untuk sementara ini termasuk kenderaan barangan, perkhidmatan awam dan pelancongan.

“PUSPAKOM akan mengumumkan kelak jika perkhidmatan pemeriksaan lain akan beroperasi semula.

“Cawangan yang dibuka juga akan menyediakan khidmat pembaharuan insurans, sementara cawangan di Lembah Klang dan zon selatan yang sebelum ini menawarkan perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) juga akan menyediakan perkhidmatan berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, PUSPAKOM berkata semua pelanggan perlu membuat tempahan menerusi sistem MyPUSPAKOM sebelum hadir membuat pemeriksaan kenderaan bagi mengelak kesesakan.

Katanya, tiada pelanggan dibenarkan ‘walk-in’ untuk pemeriksaan kecuali untuk kenderaan yang perakuan pemeriksaannya tamat antara 18 Mac hingga 28 April ini.

“Bagaimanapun, kumpulan ini perlu merujuk jadual berikut untuk memastikan tarikh yang ditetapkan bagi pemeriksaan kenderaan mereka menerusi, https://www.puspakom.com.my/news announcement/.

“Kenderaan yang tamat tempoh perakuan pemeriksaan selepas 28 April ini, diwajibkan membuat temujanji dalam talian di www.mypuspakom.com.my sebelum hadir pemeriksaan.

“Semua pelanggan yang ingin hadir menjalani pemeriksaan kenderaan, perlu membawa ‘insurance cover note’ sebagai dokumen tambahan selain kad pendaftaran kenderaan asal dan perakuan pemeriksaan terkini,” katanya. – BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *