Covid-19: Ladang & Kilang Sawit Di Kinabatangan Diarah Tutup

Christina Rundi

KOTA KINABALU: Sebuah ladang dan kilang sawit di Kinabatangan diarah tutup berikutan terdapat kontak kes Covid-19 dikesan di kedua-dua premis itu.

Kedua-dua premis itu diarah tutup serta-merta selepas Pejabat Kesihatan Kawasan Kinabatangan mengadakan aktiviti pengesanan kes di premis tersebut.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi berkata, arahan penutupan itu dibuat mengikut Seksyen 18(1)(d), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.

Beliau berkata, sebanyak 1,020 premis telah diperiksa dalam operasi bersepadu yang dijalankan semalam.

Selain daripada dua premis di Kinabatangan, sebuah kedai serbaneka di Sandakan turut diarah tutup mengikut Seksyen 18(1)(f), APPPB 1988 kerana ingkar perintah waktu operasi.

Dalam perkembangan lain, Christina mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak mereka mendapatkan imunisasi mengikut jadual Program Imunisasi Kebangsaan.

Selaras dengan Minggu Imunisasi Sedunia bermula 24 hingga 30 April, JKNS ingin mengingatkan masyarakat tentang kepentingan vaksin dalam pencegahan penyakit. Semua orang amat mengharapkan vaksin dapat dihasilkan segera untuk menamatkan penderitaan akibat jangkitan Covid-19.

“Buat julung kalinya, semua agensi berkaitan di seluruh dunia menyarankan komitmen global untuk menghasilkan vaksin kerana semua yakin bahawa “Vaksin Menyelamatkan Nyawa”.

“Sementara vaksin untuk mencegah jangkitan Covid-19 belum ditemui, orang awam harus mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti menghadkan perjalanan, amalkan jarak sosial, menggunakan topeng penutup hidung dan mulut serta sentiasa mencuci tangan agar dapat memutuskan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat,” jelasnya.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *