PKP: PPM Sabah Tingkatkan Operasi Sepanjang Ramadan

Mohamad Pajeri bersama pegawai dan anggotanya menjalankan rondaan di perairan sekitar Lahad Datu. Foto PPM Sabah

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah akan meningkatkan operasi rondaan bersama dengan agensi berkaitan dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan sepanjang Ramadan ini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata operasi bersama itu membabitkan Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan.

Katanya, langkah ini juga bagi menggagalkan usaha pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjalankan kegiatan jenayah penyeludupan.

“Berdasarkan daripada kerjasama sebelum ini, kita melihat ia memuaskan termasuk tiada bot kumpit dari luar dikesan cuba memasuki perairan negeri ini sepanjang larangan dilaksanakan.

“Ini menunjukkan PPM dengan kerjasama Maritim Malaysia dan Jabatan Laut sentiasa memberikan yang terbaik bukan hanya berhadapan ancaman COVID-19 tetapi juga cuaca yang tidak menentu,” katanya ketika ditemui selepas program sumbangan melalui kerjasama strategik Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), di Pulau Sepanggar, di sini, semalam.

Mohamad Pajeri berkata, tugas PPM bukan hanya tertumpu di lautan semata-mata tetapi juga menyediakan anggota untuk terbabit dalam penugasan sekatan jalan raya Op COVID-19.

“Ini bagi memastikan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berada pada tahap maksima.

“Sehubungan itu, anggota PPM yang bertugas di lapangan supaya sentiasa menjaga keselamatan dengan memakai perlindungan diri sepanjang menjalankan penugasan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata hanya bot berlesen sahaja yang dibenarkan untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan di laut dan komuniti maritim diingatkan untuk sentiasa patuh arahan PKP. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *