Ebit Lew Henti Agih Bantuan Lepas Dipanggil Polis

Pendakwah terkenal, Ebit Lew ketika memberi bantuan yang tular. Foto FB Ebit Lew

KUALA LUMPUR: Pendakwah terkenal, Ebit Lew mengesahkan khidmatnya bagi membantu orang tidak berkemampuan tidak lagi akan dilakukan secara langsung.

Ebit Lew berkata, pendirian itu diambil selepas dipanggil ke Bukit Aman hari ini, bagi memberi keterangan berhubung laporan beberapa pihak yang mempertikaikan khidmat bantuannya yang tular di media sosial.

Pendakwah terkenal, Ebit Lew ketika memberi bantuan yang tular. Foto FB Ebit Lew
Pendakwah terkenal, Ebit Lew ketika memberi bantuan yang tular. Foto FB Ebit Lew

“Atas nasihat, setakat ini sahaja saya berkhidmat pada semua secara langsung.

“Saya cuma akan memindahkan wang pada orang susah. Saya teruskan dari rumah sahaja.

“Jangan ‘tag’ saya lagi (di Facebook) kes orang susah. Nanti habis PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) baru saya cuba bantu,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Mengulas mengenai kehadirannya ke Bukit Aman, Ebit Lew berkata, beliau dihubungi polis untuk berbuat demikian pada tengah malam tadi.

“Saya terus ke sana hari ini untuk mendapatkan dan memberi penjelasan terutama kes tular beberapa hari lalu kerana ada aduan.

“Mereka (pegawai rakam keterangan) semua baik dan melayan saya dengan sangat baik. Terima kasih sangat.

“Tadi saya menangis ketika beri keterangan pada beberapa pegawai mungkin sebab penat. Serius penat sangat. Saya tak salahkan sesiapa. Saya bukan ahli politik. Saya bukan sesiapa. Cuma Cina Islam yang sayangkan Islam dan Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Ebit Lew memohon maaf sekiranya apa dilakukannya mengguris hati orang ramai kerana niatnya hanya ingin membantu.

Pendakwah itu berkata, beliau sememangnya tidak boleh melihat orang tidur di kawasan kotor dan tepi jalan.

“Lebih seratus orang sudah saya bayar penginapan dan tempat tinggal. Cuma beberapa kes tu saya kongsikan dengan kawan di Facebook

“Saya tiada niat nak tular perkara ini. Ramai anak-anak susah dan terbiar, pelajar tahfiz saya bayarkan yuran mereka. Perniagaan saya sebenarnya sangat baik. Syukur pada Allah.

“Rezeki melimpah ruah. Saya belanja duit saya sendiri dari dulu lagi untuk bantu orang dimana-mana,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *