Umat Islam Di Malaysia Mula Berpuasa Esok

Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok, Jumaat, 24 April, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, sebentar tadi.

Tarikh permulaan puasa bagi negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari itu menurut perintah Yang di-Pertuan Agong selepas diperkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman ringkas itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah pada hari ini, 23 April, bersamaan 29 Syaaban 1441 Hijrah.

Jawatankuasa berkenaan melihat anak bulan Ramadan di 15 lokasi di seluruh negara.

Majlis Raja-Raja mempersetujui cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *