Sabah Kenal Pasti Pusat Kuarantin Hadapi COVID-19 Selepas PKP Tamat

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah telah mengenal pasti pusat kuarantin sebagai persediaan untuk menangani penularan wabak COVID-19 di negeri ini selepas tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata antara pusat kuarantin itu adalah Kompleks Sukan Likas dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) selain beberapa hotel.

“Ini bukan bererti pusat kuarantin yang sedia ada tidak mencukupi, tetapi ia adalah persediaan untuk menangani wabak ini dalam jangka masa panjang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini.

“Kita tidak dapat mengelak apabila beberapa perniagaan terpilih dibenarkan beroperasi secara berperingkat, kita tidak tahu (pesakit) pasti akan banyak berlakunya kontak (COVID-19),” tambahnya.

Mohd Shafie berkata ketika ini Kompleks Sukan Likas sedang dilengkapkan dengan kemudahan antaranya katil dan dijangka dibuka Ahad ini serta mampu menempatkan kira-kira 180 pesakit pada satu-satu masa.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *