Lelaki Maut Tersepit Lif Sebuah Pasaraya Di Kingfisher

Gambar ihsan JPBM Sabah

KOTA KINABALU: Seorang pekerja syarikat penghantaran barang maut selepas tersepit di lif ketika sedang memunggah barang di stor sebuah pasaraya, di Kingfisher, dekat sini, hari ini.

Mangsa Joyden Joharis, 19, disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Kota Kinabalu kira-kira jam 10.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mangsa adalah pekerja sebuah syarikat penghantaran barang bagi syarikat pembekalan barangan di daerah ini.

“Ketika memunggah barang, mangsa naik ke tingkat tiga di pasar raya berkenaan dan tidak lama selepas itu salah seorang pekerja di pasar raya terdengar jeritan mangsa kesakitan.

“Berikutan itu, pekerja naik ke tingkat tiga melalui tangga dan dia bertindak memecahkan pintu stor barang berkenaan dan mendapati mangsa dalam keadaan tersepit di bahagian leher,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pekerja itu kemudian menghubungi ambulans dan bomba untuk bantuan.

“Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan ambulans yang tiba di lokasi kejadian kemudian memberi bantuan pernafasan.

“Namun mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Tambah beliau, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.- Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *