Covid-19: Satu Kes Positif, Tiga Sembuh Di Sabah Hari Ini

KOTA KINABALU: Selepas dua hari tanpa kes baharu Covid-19, Sabah hari ini mencatat pertambahan satu kes, menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri ini, setakat ini, sebanyak 309 kes.

Statistik terbaharu yang dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung, dalam Facebook beliau menunjukkan pertambahan kes itu berlaku di Kota Kinabalu.

Jumlah pesakit jangkitan wabak itu yang telah sembuh dan discaj daripada hospital juga meningkat tiga orang hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih di Sabah seramai 203 orang.

Dalam statistik yang disiarkan Frankie pada hari ini juga turut menunjukkan jumlah kes aktif atau yang masih menerima rawatan dalam wad di negeri ini iaitu seramai 102.

Berdasarkan jumlah yang masih menerima rawatan dalam wad juga, Tawau mempunyai kes tertinggi iaitu seramai 21 orang disusuli Kota Kinabalu seramai 17 orang manakala Keningau ketiga tertinggi dengan 16 orang.

Daerah Tuaran pula daerah keempat tertinggi mempunyai kes Covid-19 aktif iaitu seramai 10 orang manakala Lahad Datu, Kinabatangan, dan Penampang masing-masing mencatat jumlah sembilan kes.

Lain-lain daerah yang mempunyai kes pesakit yang masih menerima rawatan ialah di Sandakan dan Beaufort masing-masing tiga kes, Kunak dua kes, manakala Putatan, Papar, dan Ranau masing-masing satu kes.

Dalam perkembangan sama, beberapa daerah yang sebelum ini mencatatkan kes Covid-19 namun tiada lagi pesakit yang dirawat akibat jangkitan itu ialah Kota Belud, Sipitang, Tambunan dan Semporna.

Sementara itu, tiada kes kematian dicatatkan hari ini dengan jumlah korban akibat Covid-19 di Sabah kekal sebanyak empat kes iaitu dua di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau serta Tambunan.

Sabah juga kekal negeri keenam tertinggi mencatatkan jumlah kes Covid-19 selepas Selangor yang kini mencatat 1,369 kes, Kuala Lumpur (1,066), Johor (651), Sarawak (459), dan Negeri Sembilan (431). – Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *