COVID-19: 90 Discaj Hospital Hari Ini, Kes Sembuh Meningkat Kepada 3,542 Kes

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. –

PUTRAJAYA: Jumlah individu yang sembuh dari jangkitan COVID-19 di negara ini terus meningkat dengan 90 kes dilaporkan sudah pulih sepenuhnya hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang dibenarkan pulang adalah sebanyak 3,542 kes atau 63.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Seperti trend yang dilihat kebelakangan ini, bilangan kes yang pulih dan dibenarkan pulang hari ini adalah melebihi bilangan kes yang dilaporkan.

“Sehingga jam 12 tengah hari ini, terdapat 71 kes baharu yang dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,603 kes.

“Daripada jumlah berkenaan seramai 42 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 21 kes masih memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini.

Dr Noor Hisham berkata, dalam pada itu turut dilihat pertambahan dua kes kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 95 kes atau 1.70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, kes kematian ke-94 (kes ke-3,871) membabitkan seorang wanita warganegara Malaysia berusia 32 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

Katanya, wanita berkenaan adalah anggota perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-3,662 yang berkaitan dengan kluster hospital pakar Muar, Johor.

“Beliau sebelum ini menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 6 April lalu sebelum disahkan meninggal dunia pada 12.36 pagi tadi. Ini ialah kematian ketiga dalam kalangan anggota kesihatan KKM.

“Kes kematian ke-95 (kes ke-4,129) membabitkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-1,575 iaitu berkaitan kluster pesakit di bawah pemantauan (PUI) Bali.

“Beliau sebelum ini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 8 April lalu dan disahkan meninggal dunia pada 22 April jam 11.48 malam. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” katanya.

SumbeR: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *