Rampas 300 Kilogram Ikan ‘COD’ Dari Filipina

Dua lelaki ditahan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Sandakan ketika membawa masuk ikan dari Pulau Boan, Filipina, semalam.

SANDAKAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Sandakan menahan dua lelaki yang membawa masuk bekalan ikan dari Pulau Boan, Filipina ke Sandakan, dekat perairan Tabangka, semalam.

Suspek membabitkan warga tempatan berusia 42 tahun dan warga asing berusia 23 tahun, ditahan kira-kira jam 4.30 petang ketika menaiki sebuah bot jongkong membawa muatan ikan.

Dua lelaki ditahan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Sandakan ketika membawa masuk ikan dari Pulau Boan, Filipina, semalam.

Pegawai Memerintah PGA Batalion 20 Sandakan, Superintendan Toipi Lamat, berkata pihaknya sedang giat menjalankan rondaan sempena ‘Ops Covid Shield’ di perairan berkenaan apabila mengesan sebuah bot jongkong dalam keadaan mencurigakan dari arah Pulau Boan, Filipina menuju Sandakan.

“Pasukan kami segera memintas dan membuat pemeriksaan lanjut. Terdapat dua lelaki di atas bot terbabit, seorang warga asing dan seorang lagi tempatan. Pemeriksaan lanjut menemui tiga tong berisi pelbagai jenis ikan, semuanya dianggarkan lebih 300 kilogram.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku mengambil ikan dari negara jiran berkenaan untuk dibawa ke pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek tidak memiliki permit sebagai peraih ikan dan turut melakukan kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Justeru, kedua-dua suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya.- BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *