Permohonan Musa Aman Batal 46 Pertuduhan Ditangguhkan

Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman Ketika Hadir Ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, kelmarin.

KUALA LUMPUR: Prosiding permohonan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman untuk membatalkan 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah yang dihadapinya ditangguhkan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini sudah menetapkan permohonan itu didengar hari ini dan esok.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Musa berkata tarikh baharu prosiding permohonan itu akan ditetapkan kemudian.

“Kedua-dua pihak masih belum menyelesaikan penyerahan afidavit kerana pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi, tarikh belum ditetapkan lagi. Mahkamah akan menetapkan tarikh setelah afidavit dikemukakan oleh kedua-dua pihak,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Musa, 69, memfailkan permohonan itu pada 12 Februari lalu atas alasan pertuduhan dihadapinya tidak berasas.

Beliau menghadapi 30 pertuduhan rasuah dan 16 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi kes rasuah, Musa, didakwa sebagai Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah US$50.1 juta.

Wang suapan itu sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lapan bank dan institusi kewangan di Hong Kong, China dan Singapura antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.

Bagi kes pengubahan wang haram, Musa didakwa mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun di UBS AG atas nama lelaki itu bagi tujuan menerima hasil aktiviti haram melalui akaun berkenaan.

Bekas ketua menteri itu dituduh secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima US$37,845,491.60 dan S$2.5 juta lagi hasil aktiviti haram daripada beberapa individu melalui akaun atas nama Barnes.

Musa juga berdepan tuduhan alternatif, iaitu menyembunyikan pemilikan hasil aktiviti haram berkenaan.

SumbeR: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *