Perketat Kawalan Di Pulau Gaya

Mazli ketika sidang media selepas melakukan rondaan di sekitar Pulau Gaya. Foto Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Polis terus melaksanakan rondaan di sekitar Pulau Gaya, di Kota Kinabalu bagi memastikan penduduk di pulau berkenaan patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah memasuki fasa ketiga.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, penduduk di sekitar Pulau Gaya diminta supaya mengikuti arahan PKP sepenuhnya bagi mengelak penularan Covid-19.

“Hari ini, saya bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji dan Pasukan Polis Marin (PPM) mengadakan rondaan di kawasan Pulau Gaya dan kita lihat keadaan pematuhan PKP semakin baik.

“Jika dilihat penduduk kurang bergerak dan mereka berada di rumah, kalau adapun, dua tiga bot kecil yang kita benarkan untuk melakukan aktiviti memancing di kawasan pulau.

“Ini menunjukkan pematuhan PKP oleh penduduk di Pulau Gaya semakin bertambah baik,” katanya ketika ditemui media di Pangkalan PPM Kota Kinabalu, hari ini.

Pihak berkuasa sebelum ini hanya membenarkan dua bot beroperasi bagi setiap kampung di Pulau Gaya dan pulau berkenaan mempunyai enam kampung.

Mengulas lanjut, Mazli berkata, pihaknya berharap tiada lagi kejadian tangkapan membabitkan penduduk di Pulau Gaya selepas ini.

“Setakat ini kita membuat rondaan di perairan Pulau Gaya dan kawasan jeti Sabah Fish Marketing (SAFMA) untuk melihat sekiranya ada pergerakan yang melanggar PKP,” katanya.

Lelaki tanpa identiti dipercayai warga asing yang ditemui tergantung di pokok di kawasan Kampung Pondo, Pulau Gaya, pada 6 April lalu disahkan positif Covid-19 pada 11 April.

Susulan itu, pihak berkuasa mengehadkan pergerakan keluar masuk penduduk Pulau Gaya ke Kota Kinabalu. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *