Covid-19: Tiada Kes Baharu, Tujuh Lagi Sembuh Di Sabah Hari Ini

KOTA KINABALU: Buat hari kedua berturut-turut, tiada kes Covid-19 harian baharu dicatatkan di Sabah dengan jumlah keseluruhan kes setakat ini masih kekal sebanyak 308.

Menurut Statistik terbaharu yang disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung, sebentar tadi, seramai tujuh lagi pesakit Covid-19 di negeri ini telah pulih dan dibenarkan pulang.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih di Sabah kini sebanyak 200 orang.

Sekiranya mengambil kira jumlah berkenaan serta pesakit yang telah meninggal dunia, jumlah kes aktif yang masih menerima rawatan kini menurun kepada 104.

Dalam perkembangan sama, tiada kematian dicatatkan di Sabah hari ini dengan jumlah korban akibat wabak itu di negeri ini kekal empat kes iaitu dua di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau serta Tambunan.

Sabah juga kekal negeri keenam tertinggi mencatatkan jumlah kes Covid-19 selepas Selangor yang kini mencatat 1,357 kes, Kuala Lumpur (1,037), Johor (648), Sarawak (455), dan Negeri Sembilan (411). – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *