Pengusaha Rumah Sarang Burung Walit Di Sabah Perlu Dapatkan Permit

KOTA KINABALU: Semua pengusaha dan penternak rumah sarang burung walit perlu mendapatkan permit penternakan daripada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, permit penternakan itu berjumlah RM200 setahun dan tiada sebarang cukai selain bayaran permit penternakan dikenakan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, permit penternakan itu diperlukan kerana burung walit merupakan spesis yang dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar ini berkata, JHL Sabah akan cuba memastikan semua penternak sarang burung mendapatkan permit penternakan itu apabila rumah sarang burung mula mengeluarkan hasil.

Mengenai bantuan teknikal untuk penternakan burung walit, Christina berkata, JHL Sabah tidak mempunyai inisiatif khusus bagi memberi bantuan teknikal kepada pengusaha yang berminat membina rumah sarang burung.

Namun, pegawai JHL bersedia membantu mana-mana individu yang datang ke pejabat-pejabat JHL untuk mendapatkan nasihat teknikal mengenai pembinaan rumah sarang burung.

Katanya, JHL juga turut mengeluarkan surat sokongan kepada mereka yang ingin memohon pinjaman bank bagi membina rumah sarang burung sekiranya mereka merupakan peserta kursus menternak sarang burung yang diiktiraf JHL.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Saddi Abdul Rahman (WARISAN-Sukau) mengenai inisiatif kerajaan negeri mengenai aktiviti penternakan rumah sarang burung walit dari konteks bantuan teknikal.

Tambahnya, JHL juga telah menerbitkan buku panduan penternakan sarang burung dan ia sudah disedarkan ke semua pejabat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk dipatuhi oleh bakal penternak sarang burung.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *