COVID-19: Sembilan Pulih, Tiada Kes Baharu Di Sabah Hari Ini

KOTA KINABALU: Tiada kes positif Covid-19 baharu dicatatkan di Sabah, hari ini, dengan jumlah keseluruhan kes di negeri ini kekal sebanyak 308.

Menurut statistik yang disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung, sembilan lagi pesakit jangkitan wabak itu telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini.

Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh dan discaj di Sabah ketika ini seramai 193 orang.

Sekiranya mengambil kira jumlah kes pesakit sembuh dan yang telah meninggal dunia ketika ini, jumlah keseluruhan kes aktif di Sabah ialah sebanyak 111 kes.

Sementara itu, tiada kes kematian dicatatkan hari ini dengan jumlah korban akibat Covid-19 di Sabah kekal empat kes iaitu dua di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau serta Tambunan.

Sabah juga kekal negeri keenam tertinggi mencatatkan kes Covid-19 selepas Selangor yang merekodkan jumlah 1,356 kes, Kuala Lumpur (1,021), Johor (645), Sarawak (436) dan Negeri Sembilan (409). – Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *