9 Lelaki Ingkar PKP Dihadap Ke Mahkamah Keningau

TENOM: Sembilan lelaki yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Keningau, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, sepanjang tempoh PKP Fasa tiga, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom sudah membuka tujuh kertas siasatan membabitkan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.3) 2020.

“Hari ini, kita menghadapkan sembilan lelaki yang berusia antara 23 hingga 59 tahun ke Mahkamah Majistret Keningau selepas ditahan kerana ingkar arahan PKP.

“Difahamkan, semua tertuduh mengaku salah dan Majistret menetapkan tujuh individu menjalani khidmat masyarakat selama tiga bulan, 4 jam sehari dalam tempoh berkenaan dan dikenakan Bon jaminan RM1,000 tanpa deposit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hasan berkata, sekiranya gagal, mereka boleh dikenakan hukuman denda RM1000 atau penjara selama tiga bulan.

Katanya, hukuman berkenaan akan dijalankan selepas PKP selesai dan pesalah perlu melapor diri kepada Jabatan Penjara Malaysia mengikut Akta Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (PKW) 1954 yang mana pihak penjara akan menentukan jenis khidmat masyarakat dilakukan oleh individu berkenaan.

“Manakala dua lagi individu yang didakwa dikenakan hukuman denda RM300 dan sekiranya gagal membayar dipenjara selama tiga hari namun kedua-dua tertuduh membayar denda.

“Pendakwaan kes dilakukan Asisten Superintendan Abdullah Ismail di hadapan Majistret Marlina Ibrahim terhadap kesembilan-sembilan tertuduh yang tidak diwakili peguam,” katanya. – Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *