50,000 Petani, Penternak, Nelayan Di Sabah Terima Bantuan Covid-19 Secara Tunai

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian & Industri Makanan akan memastikan Bantuan Covid-19 kepada lebih 50,000 orang petani, penternak dan nelayan yang tidak mempunyai akaun bank akan disampaikan secara tunai.

Menteri Pertanian & Industri Makanan, Datuk Junz Wong berkata, beliau sedar ramai antara petani, penternak dan nelayan ini yang tinggal jauh di pedalaman dan tidak mempunyai akses bank.

Maka, usaha akan diambil bagi menyampaikan Bantuan Covid-19 kepada penerima secara tunai melalui Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).

“Kita sudah menyenaraikan 118,635 penerima yang mempunyai akaun bank manakala, selebihnya 50,000 lagi yang tiada akaun bank.

“Perkara ini sudah dibincangkan di Kabinet Negeri dan Ketua Menteri juga menasihatkan supaya jangan supaya jangan tunggu..kita akan menggunakan UPPM untuk sampaikan bantuan ini dan kita sedang proses semua ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abidin Madingkir (UPKO-Paginatan) mengenai Bantuan Covid-19 kepada penerima yang berada di pedalaman.

Keseluruhan penerima Bantuan Covid-19 bagi golongan petani, penternak dan nelayan adalah seramai 169, 630 orang dan setakat ini sebanyak 123,583 nama telah diterima.

Mengenai pekerja sambilan harian (PSH) atau pekerja bergaji hari lantikan kerajaan negeri, kesemua mereka tidak diberhentikan dan gaji dibayar seperti biasa tertakluk kepada peraturan sedia ada sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Junz berkata, aktiviti kritikal seperti biosekuriti dan kewangan pula, PSH ini kekal bekerja seperti biasa. Hanya PSH yang tidak terlibat dalam perkhidmatan penting sahaja bekerja dari rumah selaras dengan pematuhan arahan PKP.

Untuk memastikan bekalan makanan tidak terputus, kerajaan membenarkan mereka yang terlibat dalam aktiviti rantaian bekalan makanan termasuk urusan pengangkutan hasil produk meneruskan aktiviti masing-masing.

“Semua aktiviti melibatkan bekalan makanan seperti pertanian dan perikanan dibenarkan untuk terus beroperasi sepanjang PKP berkuatkuasa,” ujarnya.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *