Sembilan Lelaki Diberkas Ketika Lepak Minum Arak, ‘Aramai Ti’

Sekumpulan lelaki ditahan polis Tuaran selepas ingkar PKP.

TUARAN: Bincang program bantuan kepada penduduk kampung, itu alasan diberikan sembilan lelaki yang berkumpul sambil menikmati minuman keras di sebuah teratak, di Kampung Bombong, di sini, semalam.

Semua suspek berusia 40 hingga 60 tahun itu kemudian ditahan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, kira-kira jam 7.10 malam kerana didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis menjalankan Ops Pintas Khas Covid-19.

Katanya, setiba di lokasi mendapati sekumpulan lelaki sedang berkumpul dan meminum-minuman keras serta tidak mengendahkan PKP.

“Pemeriksaan semua lelaki terbabit didapati gagal memberi alasan yang munasabah dan semua mereka adalah kenalan.

“Mereka mendakwa tujuan mereka berkumpul adalah bagi membincangkan mengenai program bantuan makanan kepada penduduk kampung yang dianjurkan oleh mereka sambil minum minuman keras bersama,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, polis menahan semua individu terbabit selama tempoh 24 jam untuk siasatan lanjut.

“Semua lelaki itu disyaki ingkar pematuhan PKP dan sengaja berhimpun tanpa sebarang alasan yang munasabah.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan),” katanya.

Sementara itu, Mohd Hamizi berkata, sepanjang PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, IPD Tuaran merekodkan tangkapan seramai 31 individu yang didapati ingkar kepada pematuhan perintah berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 20 individu sudah dituduh di mahkamah dan dijatuhkan hukuman.

“Oleh itu, masyarakat khususnya di daerah ini diminta untuk terus mematuhi PKP supaya kita sama-sama dapat memutuskan rangkaian Covid-19 ini,” katanya. – Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *