PPM Sabah Perketat Kawalan Di Perairan Pantai Timur

Mohamad Pajeri bersama pegawai dan anggotanya menjalankan rondaan di perairan sekitar Lahad Datu. Foto PPM Sabah

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menggerakkan 170 pegawai dan anggota bersama 11 bot ronda khususnya di perairan Lahad Datu, Kunak dan Semporna sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi yang digerakkan itu akan membuat pemantauan 24 jam di perairan pantai timur berkenaan.

Katanya, beliau juga akan turut serta membuat pemantauan bagi melihat sendiri kepatuhan penduduk setempat khususnya di perairan berkenaan.

Mohamad Pajeri bersama pegawai dan anggotanya menjalankan rondaan di perairan sekitar Lahad Datu. Foto PPM Sabah

“Kita juga mengadakan sesi taklimat kepada petugas ‘frontliner’ PPM mengenai arahan ketika penguatkuasaan PKP Fasa ketiga juga berkaitan Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 7, Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit.

“Sepanjang pemantauan dijalankan, kita mendapati hanya 15 bot nelayan yang dibenarkan kerajaan dilihat menjalankan aktiviti perikanan serta mengangkut bekalan air bersih,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, selain memantau pergerakan penduduk untuk tempoh PKP, beliau juga tidak melepaskan peluang untuk melihat kebajikan pegawai dan anggota di pengkalan PPM Semporna dan Pos PPM Pulau Tabawan.

Mohamad Pajeri bersama pegawai dan anggotanya menjalankan rondaan di perairan sekitar Lahad Datu. Foto PPM Sabah

“Kita yakin dan percaya, pematuhan dan kerjasama penduduk terhadap PKP yang dikuatkuasakan dapat memutuskan rantaian Covid-19.

“Malah ia juga dapat mengekang ancaman anasir luar serta jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *