Polis Cekup Dua Warga Tempatan Penagih & Pengedar Syabu Di Ranau

Dadah jenis syabu yang dirampas pihak polis di Kampung Lohan Ulu, Ranau. Gambar Ihsan PDRM

RANAU: Urusan jual beli dadah antara pengedar dan penagih di hadapan sebuah premis di Kampung Lohan Ulu, Ranau, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjaya digagalkan polis dengan penahanan kedua-dua suspek.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, suspek warga tempatan berusia 35 dan 45 tahun yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah itu ditahan ketika polis menjalankan rondaan PKP.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menahan kedua-dua suspek selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan pada badan suspek pertama disyaki penagih oleh anggota polis menemui dua paket lutsinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.28 gram.

“Manakala suspek kedua yang disyaki sebagai pengedar, kita (polis) menemui satu bekas tin gula-gula mengandungi 11 paket lutsinar disyaki syabu seberat 1.73 gram,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang diarahkan menjalani saringan awal ujian air kencing juga disahkan positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine manakala keseluruhan dadah yang dianggarkan bernilai RM600 dirampas.

“Kedua-dua suspek pernah didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Mereka kini ditahan mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.3) 2020 bagi kesalahan ingkar PKP,” katanya.

SumbeR: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *